Seorang hadirin forum Malaysia dan Statut Rom yang diadakan di Auditorium Tun Mohamed Sufian, Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya [1] [forum ini] menggunakan peluangnya semasa sesi soal jawab untuk berhujah bahawa forum ini tidak sepatutnya terjadi memandangkan Kerajaan Persekutuan telahpun memutuskan untuk menarik diri daripada meratifikasikan Statut Rom.

Artikel ini bertujuan untuk memberikan beberapa sebab mengapa perlunya forum sedemikian, daripada perspektif parti ketiga yang tidak berkepentingan.

Pertamanya, kita perlu jelas bahawa sebarang keputusan Kerajaan Persekutuan bukanlah muktamad. Pada 4.3.2019, Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, mengumumkan bahawa ia berniat untuk meratifikasikan Statut Rom. Keputusan ini selaras dengan janji Kerajaan Persekutuan dalam Janji 26 Manifesto Pakatan Harapan [2].

Namun, Kerajaan Persekutuan telahpun membuat pusingan mengenai isu ini pada 5.4.2019. Ini jelas membuktikan bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan tertakluk kepada perubahan.

Sekiranya keputusan Kerajaan Persekutuan boleh diubah, rakyat marhaen wajar mengadakan perbicangan secara ilmiah untuk mempertimbangkan merit sesuatu keputusan yang dibuat. Ketidakpuasan hati rakyat, berdasarkan fakta dan hujahan yang bernas, boleh disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan agar ia mempertimbangkan keputusannya.

Selain itu, tiada sebarang forum/dialog terbuka dengan pihak berkepentingan dilakukan sebelum Kerajaan Persekutuan membuat keputusan pengratifikasian dan selepas itu, untuk menarik diri daripada mengratifikasikan Statut Rom.

Sekurang-kurangnya, forum ini membenarkan orang awam memahami pendirian, antara lain, Jabatan Peguam Negara Malaysia berkenaan dengan isu yang dibincangkan. Dalam konteks forum ini, pendapat Jabatan Peguam Negara Malaysia mengenai Statut Rom dan implikasinya terutamanya kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, jelas dinyatakan dan dihuraikan.

Forum ini juga memberikan para hadirin konteks mengenai keputusan Kerajaan Persekutuan terdahulu untuk meratifikasikan Statut Rom. Ini didedahkan oleh Dato’ Noor Farida, seorang ahli panelis forum ini, dalam pembentangannya. Rupa-rupanya pengratifikasian Statut Rom bukanlah perkara yang baharu tetapi merupakan kesinambungan komitmen kerajaan terdahulu.

Selanjutnya, forum seperti ini diperlukan demi pemeliharaan integriti akademik dan kejujuran intelektual.

Rumusan eksekutif kertas kerja yang dibentangkan Datuk Dr Rahmat Mohamad, Dr Shamrahayu Abdul Aziz, Dr Fareed Mohd Hassan, dan Hisham Hanapi [keempat-empat ahli akademik tersebut] kepada Majlis Raja-Raja pada 2.4.2019 dibongkarkan oleh ahli panelis Asheeq Ali dan rakan-rakannya baru-baru ini [3]. Setelah itu berlaku, beberapa individu yang terpelajar telah membalas hujahan yang dibangkitkan keempat-empat ahli akademik tersebut.

Antara mereka yang membalas hujahan keempat-empat ahli akademik tersebut adalah ahli panelis forum ini, iaitu Lim Wei Jiet [4].

Dalam keadaan ini, keempat-empat ahli akademik tersebut perlu tampil untuk menjawab pengkritik mereka secara ilmiah. Forum ini menyediakan platfom sedemikian.

Malangnya keempat-empat ahli akademik tersebut tidak menghadiri forum ini walaupun dipelawa. Dua daripada empat ahli akademik tersebut menolak jemputan tersebut manakala dua lagi ahli akademik yang terlibat tidak langsung memberi respon kepada pelawaan penganjur forum ini.

Akhirul kalam, saya menyaran agar lebih banyak lagi forum seperti ini diadakan atas sebab-sebab yang telah dinyatakan. Kepada mereka yang berminat dengan isu Statut Rom dan analisa perundangannya, janganlah melepaskan peluang untuk menghadiri forum yang akan dianjurkan oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Malaysia pada Sabtu, 4 Mei 2019 [5].

[1] https://www.facebook.com/events/394095787872209/?ti=cl

[2] https://store.ubah.my/Manifesto_PH_BM.pdf

[3] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2085893961447192&id=100000798263477

[4] https://www.malaymail.com/news/what-you-think/2019/04/08/alleged-academic-presentation-to-council-of-rulers-a-point-by-point-rebutta/1740834

[5] http://www.malaysianbar.org.my/index.php?option=com_docman&task=doc_view&gid=7789&Itemid=332

This article also appeared on The Malaysian Times